TERLALU banyak mitos dan salah faham menyelubungi Adat Perpatih hingga menenggelamkan fakta sebenar mengenai adat yang diamalkan di Negeri Sembilan itu. Kegusaran paling tinggi ialah soal pemilikan dan pewarisan harta sehingga ramai yang membuat tanggapan lelaki yang berkahwin dengan wanita yang keluarganya dari Negeri Sembilan bererti menyerahkan semua harta kepada isteri secara bulat-bulat.
Bagaimanapun, pengarang sastera dan bekas peguam kelahiran Negeri Sembilan, Nisah Haron menyifatkan cerita negatif sebegitu lebih banyak ditokok tambah termasuk dengan menganggap harta akan menjadi milik perempuan dan keluarganya secara automatik jika berlaku perceraian. Keadaan begini, tegasnya, menyebabkan pengamalan Adat Perpatih dikecam oleh masyarakat yang berasal dari luar negeri berkenaan.
Prinsip-prinsip Adat Perpatih
- Keturunan dikira melalui nasab ibu Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
- Tempat Kediaman adalah di kawasan ibu isteri Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda (sumando). Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
- Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka Hanya lelaki sahaja yang berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
- Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya. Begitu juga sebaliknya. Oleh itulah perkawinan sesama suku ini adalah terlarang. Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat mereka.
- Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.
HIKMAH GALAKAN BERKAHWIN LAIN SUKU (EKSOGAMI)
Saudara lelaki merempat?
Antara salah faham yang lain ialah Adat Perpatih dianggap mengutamakan kaum wanita sehingga saudara lelaki merempat kerana tidak layak mewarisi harta keluarga. Ada juga yang mempercayai Adat Perpatih menyalahi syarak kerana ikut kaedah fiqah yang berkaitan pewarisan harta pusaka yang sepatutnya dilebihkan kepada waris lelaki berbanding waris perempuan dengan nisbah 2:1,” katanya.
Salah faham yang lain termasuklah lelaki Negeri Sembilan dayus kerana membenarkan hal itu berlaku, manakala wanita negeri itu bersifat ‘queen control’ kerana berkuasa dalam kawasan harta pusakanya hingga boleh berbuat apa saja terhadap harta itu. Salah faham konsep yang diamalkan dalam wilayah Adat Perpatih sebenarnya mengutamakan rundingan dan muafakat. Dalam erti lainnya harta dari sebelah ibu yang akan jatuh kepada anak perempuan ,ini bertujuan supaya menjamin kehidupan anak perempuan mereka selepas mereka tiada . Manakala harta bapa akan diberi dua kali ganda kepada anak lelaki berbanding anak perempuan, kerana anak perempuan sudahpun mendapat harta nenek moyang dari sebelah ibu.
Salah faham yang timbul dalam kalangan orang awam tentang tanah adat hatta oleh sesetengah sarjana sendiri berpunca kerana tidak memahami perbezaan antara tanah pusaka adat dengan tanah pusaka biasa. Sebenarnya, hanya tanah pusaka adat yang dimiliki oleh sesuatu suku saja diwakili oleh waris wanita dan bukannya seluruh hartanya.
Berikut penerangan dari Ustaz Abdul Somad