Cabaran yang besar buat ibu bapa ialah mendidik dan membesarkan anak-anak. Tidak ada seorang ibu pun di dunia ini yang mahukan anak-anak mereka membesar menjadi orang gagal dan bermasalah.
Sebagai ibu bapa, kita perlulah ingat, anak-anak adalah amanah yang diberikan oleh Allah swt kepada kita untuk dijaga dan dibentuk sebaik-baiknya. Mereka lahir seperti kain yang putih bersih yang sempurna tanpa sebarang cacat celanya. Kitalah yang mencorakkan dan mewarnakan kain putih itu dengan corak dan warna tertentu.
Dalam mendidik, anak-anak perlu diingatkan, didikan bukan melalui paksaan tetapi teladan. Anak-anak lebih percaya dengan apa yang dilihat daripada apa yang didengar.
Selain itu, ibu bapa seeloknya tidak mengeluarkan perkataan NAKAL yang tidak sepatutnya jika geram dan marah sekalipun dengan anak. Perkataan ini sebenarnya sangat pantang untuk anak-anak. Begitu juga berkata DEGIL atau TAK DENGAR KATA.
Mungkin sebahagian besar tujuan ibu bapa bercakap begitu kerana geram dan tiada niat namun ia sebenarnya doa yang tak disengajakan dan kesannya sangat tak elok untuk seseorang anak yang ingin tumbuh dewasa.
Perkongsian dari Dr Redza Zainol yang juga doktor pediatrik dan penulis ilmu keibubapaan ini menjelaskan kenapa ibu bapa kena kunci atau buang perkataan tak elok dari keluar melalui mulut.
Kanak-kanak kecil tidak berapa memahami konsep “Nakal”. Perkara “nakal” yang anak buat tu sebenarnya mereka buat tanpa niat. Bagi anak kecil, mereka cuma nak meneroka dunia sekeliling.
Jika mak ayah mahukan anak lebih mendengar arahan kita.
Seharusnya kita sebagai ibubapa dapat mengelakkan daripada mengunakan perkataan abstrak terutamanya pada anak umur 5 tahun ke bawah. Contohnya :
“Along jangan nakal ye kalau kita pergi ke rumah pakcik.”
Guna perkataan yang RINGKAS dan JELAS ketika berikan arahan. Contohnya :
“Along duduk dan jangan masuk ke bilik orang ye kalau pergi ke rumah pakcik.”
Arahan yang jelas dan ringkas lebih difahami anak daripada arahan yang banyak dan abstrak.
Ibubapa boleh beritahu secara jelas apa yang kita SUKA dan apa yang kita TAK SUKA, sebelum anak buat perkara yang kita tak suka.
Bila anak buat perkara yang positif dan baik, ambil peluang untuk terus puji anak. Jangan bertangguh atau merendahkan sesuatu usaha yang mereka lakukan
Anak akan menjadi lebih gembira sebab dia tahu kita sedang beri perhatian. Dengan itu mereka akan lebih bersemangat untuk buat lagi perkara yang baik.
Walaupun anak masih belum pandai bercakap, kita boleh cakap pada anak dengan baik tentang perkara salah yang buat oleh mereka.
Bagus untuk anak kenal konsep BETUL dan SALAH sejak kecil.