Doa Iftitah | Iftitah merupakan pembuka dan dibacakan di dalam mana – mana solat fardhu dan doa ini disunatkan untuk dibaca selepas takbiratul ihram. Untuk makluman anda, terdapat lebih kurang bacaan 12 doa iftitah yang diriwayatkan didalam pelbagai hadis.
Namun begitu, didalam konteks umat Islam di Asia Tenggara, kita hanya mengamalkan iftitah seperti dibawah yang akan dikongsikan dengan lebih lanjut oleh Digitalmukmin.com
Lafaz Bacaan Doa Iftitah
Bacaan doa ini adalah seperti berikut:
Bacaan Doa Iftitah Dalam Rumi
Allaahu Akbaru kabiiraa-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila.
Wajjahtu wajhiya lilladzii fatharas-samaawaati wal ardha haniifam-muslimaw-wamaa anaa minal musyrikiina.
Inna shalaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiina.
Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin
Maksud Doa Iftitah
Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah.
Maha Suci Allah pagi dan petang.
Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam.
Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.
Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.
Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.
Hukum Membaca Iftitah
Adakah Wajib Membaca Doa Iftitah ketika Solat Fardu dan Solat Sunat?
Hukum membaca iftitah dalam solat adalah sunat. Membaca doa iftitah selepas takbiratul Ihram adalah salah satu tuntutan Nabi SAW. Ini merupakan satu bentuk pujian, mengagungkan dan menyanjungi Allah SWT.
Terdapat pelbagai hadis yang menunjukkan baginda SAW sangat menitik beratkan pembacaan doa iftitah ini. Walaupun kebanyakkan ulama menyatakan membaca iftitah hanyalah sunat serta tidak membatalkan solat jika tidak dibaca namun kita yang ingin mengikuti sunnah Nabi SAW perlulah mempraktikkan suruhannya seperti didalam sabdanya :
”Solatlah kamu sekalian sebagaimana kamu melihat aku bersolat.”
[Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no. 631.]
Apatah lagi memang telah ada dalil dari Nabi SAW yang menunjukkan bahawa iftitah ini adalah termasuk dalam perkara yang dapat menyempurnakan ibadah solat:
Maksud sabda nabi SAW,
Tidak sempurna solat seseorang sehingga dia menyempurnakan wuduknya sebelum dia bertakbir, memuji Allah ‘Azza wa Jalla, menyanjung-Nya, dan membaca ayat-ayat al-Qur’an yang mudah baginya (dihafalnya)…”
[Sahih: Sebahagian daripada hadis yang panjang yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no. 856.]
- Iftitah dibaca pada rakaat pertama sahaja. Kecuali terlupa.
- Iftitah dibaca setelah Takbiratul Ihram dan sebelum surah Al Fatihah.
- Jika seorang lupa membaca doa Iftitah pada rakaat pertama maka boleh membacanya di rakaat kedua.
- Bagi makmum masbuq maka dibolehkan untuk tidak membacanya.
Memahami Takbiratul Ihram
Seperti yang dinyatakan di atas, doa ini dibacakan selepas mengangkat takbir. Namun apakah yang anda fahami mengenai takbiratul ihram?
Takbiratul ihram ialah lafaz “Allahuakhbar” yang merupakan salah satu daripada rukun solat. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Talib karramullahu wajhah, daripada Rasulullah bersabda:
Kunci solat itu ialah suci (daripada hadas kecil dan besar), pengharamannya (daripada perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan takbir dan penghalalannya (melakukan perkara-perkara yang harus seperti makan dan minum) ialah ucapan salam
— Riwayat at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan al-Darimi
Syarat-syarat Takbiratul Ihram adalah seperti berikut:
- Ketika melafazkan takbiratul ihram kita hendaklah dalam keadaan yang tetap berdiri dan bukan ketika baru hendak berdiri menunaikan solat.
- Menghadap kiblat semasa melafazkannya.
- Dilafazkan dalam bahasa Arab.
- Mendengar kesemua huruf yang dilafazkan.
- Ketika melafazkan takbiratul ihram, perlulah disertai dengan niat solat.
Was-was Dalam Takbiratul Ihram
Orang yang terkena penyakit was-was disunatkan membaca “Laa ilaha illallah” sebelum melakukan takbiratul ihram, hal ini kerana syaitan akan menjauhkan diri apabila mendengarnya.
Sesetengah ulama berkata bahawa untuk menghilangkan was-was dalam solat, seseorang itu hendaklah membaca “Auuzubillahi mina syaitonirrajim” sebelum melakukan takbiratul ihram.
Soalan Lazim
Disini dikumpulkan beberapa soalan-soalan lazim yang berkaitan dengan doa iftitah.
- Saya tidak menghafal doa iftitah, bagaimana saya hendak solat?
Doa iftitah bukan rukun yang wajib dilakukan. Ia merupakan sunat hai’at yang digalakkan untuk dilakukan. Seseorang yang tidak tahu membaca doa ini boleh bersolat tanpa perlu membacanya dan solatnya masih sah. Namun begitu, digalakkan supaya mempelajarinya kerana ia adalah sunat hai’at yang besar kelebihannya.
- Bilakah doa iftitah ini dibaca ketika dalam solat?
Doa iftitah hendaklah dibaca selepas takbiratulihram dan sebelum membaca surah al-Fatihah.
- Selepas mengangkat takbir, saya terus membaca surah al-Fatihah. Apakah saya boleh membaca semua doa iftitah?
Apabila sudah membaca surah al-Fatihah, tidak boleh lagi membaca doa iftitah kerana ia hanya disyariatkan selepas takbiratulihram. Dalam keadaan ini, anda seharusnya tidak membaca doa iftitah dan meneruskan bacaan surah al-Fatihah.
- Jika waktu solat sudah hampir tamat, adakah saya perlu membaca doa iftitah juga?
Doa iftitah tidak disunatkan jika waktu solat sudah terlalu sempit.
- Jika seseorang itu mengikut imam ketika beliau pada rakaat kedua ataupun ketiga ataupun keempat, apakah makmum ini dibolehkan membaca doa iftitah?
Dalam keadaan masbuk, iaitu orang yang lewat solat daripada imam, dia tidak perlu membaca doa iftitah.
- Apabila bersolat sunat, apakah disunatkan juga membaca doa iftitah?
Doa iftitah disunatkan dalam semua jenis solat-solat sunat.
- Adakah doa iftitah disunatkan bagi dibaca dalam solat jenazah?
Tidak disunatkan membaca doa iftitah dalam solat jenazah.