Bekerja dari rumah bukan hal yang mudah bagi mereka yang sudah biasa keluar setiap pagi, lima hari seminggu ke pejabat atau tempat kerja. Rutin harian pasti berubah apabila kerajaan mengarahkan tempoh 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan atau Movement Control Order . KONSEP bekerja dari rumah nampak mudah, namun realitinya pelbagai cabaran perlu dihadapi untuk melaksanakan tanggungjawab diamanahkan, lebih-lebih lagi dengan fasiliti yang terbatas. Bagi mereka yang mendapat ‘keistimewaan’ untuk bekerja dari rumah dalam situasi negara berdepan pandemik koronavirus (Covid-19) bukan sahaja memerlukan kekuatan mental, malah turut menuntut disiplin tinggi bagi melaksanakan tugasan seharian lebih-lebih lagi bagi wanita yang mempunyai anak.
Apakah cabaran bekerja dari rumah?
Tiada ruang yang sesuai untuk membuat kerja.
Jika anda jarang membawa tugasan pejabat pulang ke rumah, kemungkinan besar tiada ruang yang anda sediakan untuk membuat kerja pejabat. Oleh itu, anda perlu membuat penyesuaian sedikit dengan menjadikan ruang sedia ada di rumah sebagai meja kerja. Ruang tamu mungkin tempat yang sesuai atau boleh jadikan bilik kosong yang tidak digunakan sebagai ruang kerja.
Kemudahan yang kurang berbanding peralatan yang ada di pejabat.
Bagi mereka yang bekerja dalam sektor IT atau syarikat multinasional, majikan menggunakan talian internet yang pantas. Namun, di rumah kita mungkin hanya boleh menggunakan ‘hotspot’ pada telefon pintar dengan had data yang terhad. Jadi tidak hairan jika ada majikan yang membuat jadual kerja bergilir bagi pasukan mereka. Ini masih lagi menepati PKP dengan syarat mereka mempunyai surat kebenaran oleh Ibu Pejabat Polis berhampiran. Apatah lagi jika syarikat mereka terlibat dengan perkhidmatan penting negara seperti minyak dan gas, utiliti dan perbankan.
Tahap produktiviti semasa bekerja dari rumah.
Tidak semua tugasan dapat dilakukan secara dalam talian. Fail maklumat dan data yang bersifat sulit mungkin diperlukan bergantung kepada skop kerja masing-masing. Apabila berlaku PKP, fail maklumat sulit sudah tentu tidak dapat dibawa ke rumah. Hal ini mungkin akan menjejaskan produktiviti dalam menyelesaikan kerja.
Pada masa ini, kemudahan teknologi sangat penting dalam melancarkan tugas. Pekerja terpaksa akur dengan PKP dan majikan perlu mengambil kira isu ini. Seboleh mungkin gunakan aplikasi yang sesuai untuk berkongsi maklumat supaya tugas masih boleh dilakukan.
Perlu menyediakan makanan sendiri.
Apabila bekerja di pejabat, waktu rehat sudah ditetapkan. Mudah sahaja sama ada makan bekal yang dibawa atau beli sahaja di kedai. Halnya berbeza dalam tempoh PKP. Ibu bapa yang bekerja dari rumah perlu meluangkan masa untuk menyediakan makanan sendiri.
Proses menyediakan makanan dan memasak boleh dilakukan pada awal pagi. Kita juga boleh memasak makanan dalam kuantiti yang lebih dan kemudian disimpan dalam peti sejuk. Dengan cara ini, anda dapat menjimatkan masa dalam menyediakan makanan untuk keluarga. Bagi mereka yang jarang memasak, mungkin terasa sedikit sukar. Boleh mulakan dengan masakan yang mudah dan ringkas dahulu. Pelbagai resepi dan idea masakan dikongsi di media sosial. Inilah masa yang sesuai untuk anda mencuba resepi baharu.
Perlu menguruskan anak-anak di rumah.
Berbanding hari biasa, anak-anak akan dihantar ke taska atau ke sekolah. Cuti sekolah sudah berakhir. Tapi sekolah juga tidak dapat dibuka selaras dengan PKP. Hendak tak hendak, ibu bapa perlu menguruskan anak-anak di rumah. Dalam banyak keadaan, sudah pasti anak-anak mempunyai pelbagai permintaan yang perlu dilayan. Namun begitu, ibu bapa harus bijak mengendalikan suasana.
Cara yang paling baik ialah menyediakan jadual khususnya untuk anak yang sudah bersekolah. Sediakan aktiviti yang menyeronokkan tetapi boleh mereka lakukan sendiri dengan sedikit pengawasan. Ibu bapa juga boleh menjelaskan kepada anak-anak tentang PKP dan keperluan untuk bekerja di rumah. Apabila anak memahami yang ibu bapa mempunyai tanggungjawab kepada majikan, maka mereka juga mudah memberi kerjasama.
Menyesuaikan Diri dengan Arahan PKP
Tempoh empat minggu ini sangat kritikal untuk kita sebagai rakyat Malaysia tetap duduk diam di rumah dan menjaga kebersihan diri sebaiknya. Tidak semua orang mempunyai ruang rumah yang selesa dan baik. Tapi, kita perlu mengikut arahan kerajaan.
Bagi orang bujang yang tinggal sendirian, sudah tentu akan mengalami kebosanan selepas beberapa hari tidak dapat berjumpa orang lain. Sedangkan jika dia bekerja, sekurang-kurangnya lima hari seminggu akan keluar ke tempat kerja dan mempunyai interaksi dan ruang untuk bersosial.
Mungkin inilah masa yang sesuai untuk menyusun semula rutin kehidupan anda untuk perkara yang penting seperti:
- Mula mengemas dan mengasingkan barang yang tidak digunakan lagi.
- Melakukan hobi yang baharu bagi mengisi masa lapang.
- Mula merancang perkara yang penting dalam hidup anda. Apabila krisis COVID-19 ini berakhir, anda boleh melaksanakan projek yang anda inginkan.
- Mengeratkan hubungan dengan pasangan dan ahli keluarga.
- Memupuk sifat bertolak ansur dalam rumah tangga.
- Melihat semula status kewangan anda. Sekiranya anda tergolong dalam golongan yang layak mendapat bantuan dalam Pakej Ransangan Ekonomi PRIHATIN yang diumumkan kerajaan, maka gunakan bantuan ini dengan sebaik mungkin.
- Mula menulis buku jika anda mempunyai impian ini.