Kenapa sedekah subuh? Bukan bererti tidak boleh bersedekah di Waktu lain. Semua sedekah boleh, di setiap waktu dan di setiap saat. Setiap hari, sama ada hari Jumaat atau bukan hari Jumaat. Tetapi sedekah subuh itu termasuk dalam sedekah terbaik. Kenapa? Kata Rasullah, setiap subuh Allah turunkan Malaikat mendoakan orang yang bersedekah subuh.
“Ya Allah, gantikan yang lebih baik bagi orang-orang yang infaq di subuh hari”
Sedangkan satu lagi riwayat Bukhary
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Tidak ada hari yang disambut oleh para hamba melainkan di sana ada dua malaikan yang turun, salah satunya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti kepada orang-orang yang berinfaq’. Sedangkan (malaikat) yang lainnya berkata: ‘Ya Allah berikanlah kehancuran kepada orang-orang yang menahan (hartanya).”
Untuk pengetahuan anda, sesiapa yang bersedekah pada waktu ini, satu malaikat akan berdoa pada Allah supaya menggantikan semula nilai sedekah kamu dengan rezeki yang sentiasa mengalir tanpa putus. Manakala satu malaikat lagi akan berdoa untuk kesenangan anda iaitu tidak pernah berasa miskin untuk bersedekah lagi, melakukan amal ibadat dan lain-lain. Malah ketika melakukan perbuatan ini, anda boleh berdoa kerana doa tersebut akan mudah dimakbulkan oleh Allah s.w.t. jika kamu ikhlas.
“Ya Allah, dgn berkah sedekah ini mudahkan lah pekerjaan saya”
“Ya Allah, dgn sedekah ini aku mohon sampaikan pahalanya utk kedua orang tua ku”
“Ya Allah, dgn berkah sedekah ini tenangkan hati dan jiwa aku supaya tidak emosi lagi”,
Sediakan satu tabung dirumah. Setiap habis solat subuh, isikan sedekah di dalam tabung dan berdoalah. Niatlah di dalam hati dengan terperinci untuk dunia dan akhirat.
Hati menjadi tenang dan bahagia
Adakah anda rasa gembira melihat mereka yang mendapat manfaat daripada perbuatan sedekah anda? Kalau anda nak tahu, rembesan hormon gembira seperti endorphin dan serotonin ini akan membuatkan anda berasa tenang hati, fikiran dan emosi.
Sebagai orang islam pula, kita sememangnya digalakkan untuk melakukan sedekah bagi mencari ketenangan hati dan bahagia sepanjang hidup.
Rasa bersyukur sentiasa dan bertambah rezeki
Perbuatan sedekah ini sebenarnya merupakan salah satu cara untuk kita berterima kasih dan bersyukur dengan kurniaan dan nikmat yang diberi oleh Allah. Pada masa yang sama, anda akan berusaha keras untuk mencari rezeki bagi berkongsi dengan orang yang memerlukan. Ini kerana setiap harta yang disedekahkan akan digantikan dengan sesuatu yang lebih baik oleh Allah s.w.t.
Elak diri daripada sombong dan bongkak
Tak dinafikan kedua-dua sikap ini akan menonjol apabila tidak mengamalkan atau kurang bersedekah. Orang yang sombong dan bongkak ini akan menganggap apa yang dimilikinya adalah hak milik mereka selamanya. Tetapi sebenarnya harta dan barang yang dimiliki bukanlah milik kita dan ianya boleh ditarik bila-bila masa sahaja oleh Allah s.w.t. Jadi bersedekahlah untuk hindarkan diri daripada memiliki sifat sombong dan bongkak.
Terhindar daripada sifat kedekut dan mendapat keberkatan
Nak hindarkan diri daripada menjadi kedekut mudah sahaja, anda perlu amalkan sikap bersedekah dalam hidup. Tidak kiralah sama ada sedikit atau banyak, sikap tersebut akan memupuk diri anda menjadi seorang dermawan seperti yang disuruh dalam Islam. Jadi jauhilah sifat kedekut kerana ia boleh menyempitkan rezeki anda sepanjang hidup.
Sedar dan tidak mementingkan keduniaan
Tak dinafikan dengan perbuatan bersedekah, anda akan dijauhkan daripada memiliki sifat ‘gila’ harta dan mementingkan keduniaan tanpa berfikir tentang akhirat. Apabila seseorang melakukan sedekah, dia akan mengingati bahawa semua yang ada ini sebenarnya adalah pinjaman dan tidak bersifat kekal.Jadi melalui sedekah, anda dapat menghindarkan diri daripada memiliki sifat cintakan keduniaan dan tamak.