Al-Fatiḥah adalah merupakan bab pertama di dalam Al-Quran. Tujuh ayatnya adalah doa untuk bimbingan, ketuhanan, dan rahmat Allah SWT. Selain itu bab ini juga mempunyai peranan penting dalam solat Islam. Di tegaskan supaya lebih berhati-hati semasa membaca Surah Al-Fatihah kerana ramai yang silap. Kesempurnaan membaca surah al-Fatihah dalam sembahyang sangatlah dituntut kerana ianya adalah salah satu daripada rukun yang wajib dalam sembahyang.
Surah ini sangat mulia sehingga dikatakan bahawa seluruh ilmu-ilmu al-Quran, iaitu tauhid, ibadah, nasihat serta peringatan terkandung dalam surah yang pendek ini. Antara kemuliaannya lagi ialah Allah Subhanahu wa Ta‘ala membahagikan surah ini kepada dua bahagian; satu bahagian untukNya dan satu bahagian lagi untuk hambaNya,
Begitu juga ibadah sembahyang tidak akan diterima tanpanya. Memandangkan surah al-Fatihah ini mudah dihafal dan dibaca, adakalanya faktor inilah yang mengakibatkan, Sebilangan orang memandang ringan akan kesempurnaannya lalu membacanya tanpa berguru atau didengarkan kepada orang yang dapat memimpinnya sebagai bacaan yang betul.
- بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
- الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
- الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ
- مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
- إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
- اهْدِنَا الصِّرَاطَ المُسْتَقِيمَ
- صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ
Hukum Membaca Surah Al-Fatihah Dalam Sembahyang
Ulama mazhab asy-Syafi‘e berpendapat bahawa membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat hukumnya adalah wajib ke atas orang yang
- Bersembahyang sama ada imam
- Munfarid (orang yang sembahyang sendiri) mahupun makmum menurut pendapat yang paling shahih
- Sama ada dalam sembahyang sirriyah (sembahyang yang bacaannya dibaca secara perlahan) mahupun sembahyang jahriyyah (sembahyang yang bacaannya dibaca secara nyaring).
- Adapun bagi orang yang masbuk pula, hukumnya tetap wajib baginya membaca al-Fatihah sekadar apa yang sempat dibacanya sebelum imam rukuk.
Akan tetapi jika imam sudah rukuk, maka tidaklah perlu baginya untuk membaca surah al-Fatihah lagi, kerana bacaan surah al-Fatihah tersebut ditanggung oleh imam dan dikira baginya rakaat tersebut sebagai satu rakaat, Dengan syarat makmum yang masbuk itu mestilah sempat thuma’ninah bersama imam ketika rukuk.
Bacaan surah al-Fatihah bagi makmum juga ditanggung oleh imam jika
- Makmum itu tidak mempunyai kesempatan membacanya ataupun tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghabiskannya semasa qiyam imam (sebelum imam rukuk).
- Sama ada kerana bacaan atau pergerakannya yang lambat, misalnya ketika bangun dari sujud, imam sudahpun rukuk kembali kerana pergerakan makmum yang lambat,
- Ataupun terlupa bahawa dia sedang bersembahyang atau ragu-ragu adakah dia sudah membacanya ataupun belum sedangkan imam sudahpun rukuk.
Maka dalam keuzuran-keuzuran seperti ini, bacaan surah al-Fatihah tersebut ditanggung oleh imam walaupun ianya berlaku pada setiap rakaat dalam sembahyang.
Tuntutan wajib membaca surah al-Fatihah itu dilaksanakan sama ada dengan cara hafalan ataupun ditalkinkan kepadanya (dibacakan kepadanya ketika dia bersembahyang,
Kemudian dia ikut membacanya) ataupun membacanya dengan cara melihat mushaf, jika dia pandai membaca. Dalam hal ini, mengadakan mushaf itu pula hukumnya adalah wajib, Sama ada dengan cara membeli, menyewa ataupun meminjamnya, dan wajib pula mengadakan lampu, jika tempat dia bersembahyang itu gelap.
Tujuannya ialah untuk membolehkannya membaca mushaf tersebut. Jika dia enggan melaksanakan perkara-perkara ini, sedangkan dia sebenarnya mampu, Maka wajib ke atasnya mengulang semula semua sembahyang yang dikerjakannya sepanjang keengganannya melakukan perkara-perkara di atas.
Tegasnya, surah al-Fatihah tetap wajib dibaca dengan apa jua cara sekalipun, sedaya upaya yang termampu. Begitu juga usaha-usaha yang membolehkan ianya dilaksanakan, Seperti mempelajarinya, mendapatkan mushaf mahupun menyediakan lampu adalah wajib jika ada kemampuan untuk melakukannya.
Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari ‘Ubadah Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لمَ ْيَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ.
(رواه البخاري ومسلم)
Maksudnya: Tidak sah sembahyang bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihah al-Kitab (surah al-Fatihah). (Hadits riwayat Imam Bukhari dan Muslim)