Alhamdulillah di atas rezeki yang kita peroleh pada hari ini semuanya dari Allah swt. Dia berhak mengambilnya pada bila-bila masa. Kita haruslah sentiasa berusaha dan berdoa kerana keberkatan itu akan lebih berpanjangan dan rezeki juga tidak akan putus.
Allah juga dah janjikan jika kita supaya sentiasa menyenangkan dan mengembirakan orang yang kita sayang supaya rezeki itu akan dilipat gandakan. Jika banyak yang dikeluarkan, maka banyaklah yang akan kita perolehi.
Di dalam hidup ini, kita sepatutnya tidak boleh berkira dengan isteri, anak serta ahli keluarga yang lain kerana kita tidak tahu berapa lama lagi peluang yang akan diberikan oleh Allah swt untuk mengembirakan mereka.
Perkongsian yang hebat diberikan oleh saudara Zul Fikarullah iaitu mengenai bahagiakan pasangan dan anak akan mendapat rezeki dan ganjaran yang menakjubkan.
Isteri saya selalu berkata,
“Jika rasa nak makan sesuatu, beli je bang, duit boleh cari tapi esok belum tentu kita hidup lagi.”
“Kalau anak nak makan pun beli je bang. Selagi mereka sihat dan ada selera nak makan tu, penuhilah keinginan mereka. Rezeki kan Allah yang bagi.”
“Jika sedara mara datang melawat, belanjalah mereka makan sedap sekali sekala. Bukan selalu mereka datang melawat.”
Dalam bahasa murninya,saya ini merupakan seorang yang berjimat cermat.Tetapi dalam bahasa realitinya saya sangatlah kedekut, dengan diri sendiri apatah lagi. Tetapi saya sangat bersyukur kerana Allah swt kerana telah mengurniakan kepada saya seorang isteri yang sangat pemurah dan baik hati.
Duitnya juga sering dihabiskan kepada orang lain berbanding dirinya sendiri.
Lebih baik berhabis duit untuk keluarga,kata si isteri.
Kini saya sedang melatih diri untuk menikmati hidup ini sebaik yang mungkin. Sekiranya saya terasa nak makan Subway, saya akan terus beli dan makan atau jika ingin minum Cappucino Costa Coffee maka saya akan terus beli dan nikmati kopi tersebut.
Seandainya saya mempunyai masa yang terluang, saya akan membawa anak-anak pergi berjalan walaupun duit cukup-cukup makan dan cuba lawan perasaan resah tentang duit akan habis.
Sekali-sekala saya juga akan belanja kawan-kawan tanpa mengharapkan sebarang balasan dan saya belajar untuk terus memberi dan memberi.
Saya akan cuba berubah secara perlahan-lahan walaupun terkadang hati runsing memikirkan tentang baki duit yang ada. Saya juga manusia biasa yang sering melakukan kesilapan.
Setiap kali hati berasa resah, saya akan selalu bayangkan wajah cinta hati dan ingat kembali kata-kata isteri saya bahawa rezeki itu diberikan oleh Allah swt .
Betapa hebatnya seorang wanita yang bergelar isteri. Sehebat mana pun seorang lelaki itu pasti ada wanita yang hebat dibelakangnya.
Saya bukan orang yang hebat dan masih banyak kekurangan yang diri ini sedang berusaha untuk perbaiki.
Sebagai lelaki usahlah kita berkira demi keluarga tercinta dan janganlah terlalu obses untuk menyimpan duit, kerana bimbang kita tidak sempat merasai kehidupan yang indah ini.
Imam Ghazali yang dirahmati Allah ada menyebutkan bahawa rezeki seseorang itu ada 3, iaitu
1. Apa yang dimakan
2. Apa yang dipakai
3. Apa yang disedekahkan
Jika kita menunaikan apa anak isteri inginkan, maka hasilnya akan berlipat kali ganda.
Itulah kunci yang sebenar-benarnya rezeki untuk setiap orang. Duit yang disimpan itu belum tentu menjadi rezeki untuk kita. Kita hanya tolong simpankan sahaja dan ianya mungkin rezeki mekanik, rezeki doktor atau rezeki anak-anak.
Usahlah terlalu berkira dgn anak isteri. Sebenarnya apa yang kita perolehi hari ini berkait rapat dengan mereka juga kerana doa mereka mungkin menjadi asbab atas rezeki yang sedang kita perolehi.
Cubalah untuk tunaikan apa yang anak isteri inginkan, insyaAllah, Allah akan membalasnya berlipat kali ganda lagi dari nilai yang kita belanjakan.
Janganlah kita melupakan jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita dan berkira dengan mereka. Kita berjaya hari ini adalah berpunca dari pengorbanan mereka jua. Tidak mampu banyak, bagilah sedikit mengikut kemampuan kita.
Ketahuilah sampai mati kita tidak akan mampu membalas jasa mereka dan janganlah kita sesekali rasa diri sudah mampu balas jasa ibu bapa kerana nilai yang kita beri tidak pernah akan sama.
Senyuman serta kegembiraan mereka itu juga adalah nikmat yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bahagiakanlah mereka selagi masih berpeluang untuk berbuat demikian.
Sumber: Zul Fikarullah