Puasa sunat Syawal adalah satu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain daripada puasa fardhu Ramadhan, umat islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat.
Keistimewaan dan Kelebihan Ibadah Puasa
Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi) maksudnya:
Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).”
(Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.”
— Muslim no: 1151
Niat Puasa Enam Syawal
Nawaitu souma ghodin ‘an sittatin min syawwalin sunnatan lillahi taala
Sahaja aku berniat puasa esok hari enam hari syawal kerana Allah Taala.
DALIL PUASA SUNAT ENAM SYAWAL
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”— Muslim no: 1164
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan dimana puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diberi ganjaran pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama pula menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diberi ganjaran sebanyak 10 kali ganda.
Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diberi ganjaran sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diberi ganjaran dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir sama dengan jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari.
HUKUM PUASA ENAM SYAWAL
Hukumnya adalah sunat.
Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam alSyafi‟e, Imam Ahmad, Daud dan ulama‟ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh.
Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]