BUTTERWORTH: Pengusaha sebuah restoran terkenal dengan hidangan char kuetiau di Permatang Pauh, maut apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit nahas di Kilometer (KM) 133.8 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara dekat Seberang Jaya, di sini, malam tadi.
Dalam kemalangan jam 7.15 malam, Zamri Juhari, 33, yang menunggang motosikal jenis Honda CBR 1000, disahkan meninggal dunia di lokasi insiden akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata kejadian itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta.
Beliau berkata, insiden dipercayai berlaku ketika pemandu kereta berusia 52 tahun itu sedang dalam perjalanan dari Seberang Jaya ke Sungai Dua dengan berada di lorong laju.
“Pemandu berkenaan dikatakan tiba-tiba terdengar bunyi dentuman di sebelah kiri keretanya sebelum ternampak sebuah motosikal berkuasa tinggi terbabas ke kiri jalan.
“Pada masa sama, sebuah motosikal Yamaha Y15 ditunggang seorang lelaki berusia 24 tahun, dipercayai tidak sempat mengelak motosikal berkuasa tinggi itu lalu turut terbabas,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Berdasarkan hasil siasatan awal, beliau berkata, penunggang Yamaha Y15 memaklumkan bahawa ketika berada di lorong motosikal, beliau melihat motosikal Zamri berkeadaan terhuyung-hayang di hadapan motosikalnya.
“Kemalangan itu menyebabkan Zamri yang juga peniaga char kuetiau maut, manakala penunggang Yamaha Y15 yang bekerja sebagai pembantu juruteknik kilang pula mengalami luka di tangan dan kaki.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. Penunggang motosikal Yamaha Y15 turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.