Pelbagai jenis bantuan kewangan telah diperkenalkan oleh Kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan.
Bantuan ini diperkenalkan melalui pelbagai Kementerian atau Jabatan Kerajaan mengikut tanggungjawab dan kumpulan sasar masing-masing.
Antaranya apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pengeluaran bersyarat melalui kemudahan yang dikenali sebagai Facility Support Account 2 (FSA2).
Berikut adalah penjelasan lanjut mengenai kemudahan yang dimaksudkan:-
Pengeluaran KWSP
KWSP telah memperkenalkan kemudahan atau program yang dikenali sebagai Kemudahan Sokongan Akaun 2 (FSA2).
Melalui kemudahan ini, ahli KWSP boleh membuat permohonan awal Umur Pengeluaran Bersyarat 50 tahun atau 55 tahun bagi membantu mereka mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.
Ahli akan mengambil kira simpanan dalam Akaun 2 mereka untuk mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan yang mengambil bahagian.
Setelah permohonan mereka diluluskan, bayaran pengeluaran hendaklah dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli mencapai umur 50 hingga 55 tahun tertakluk kepada pilihan umur pengeluaran ahli.
Syarat kelayakan
- Terbuka kepada ahli KWSP yang belum mencapai umur 55 tahun;
- WargaNegara Malaysia;
- Permohonan adalah sekali sahaja;
- Permohonan yang telah lulus tidak boleh dibatalkan;
- Jumlah deposit minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP;
Jumlah maksimum untuk pengeluaran bersyarat tidak melebihi RM50,000 dalam Akaun 2 (tertakluk kepada jumlah pembiayaan peribadi yang diluluskan oleh institusi perbankan).
Cara memohon
Bagi ahli yang memenuhi syarat kelayakan, permohonan kemudahan ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang terlibat.
Pada ketika ini, terdapat dua institusi perbankan yang menyediakan perkhidmatan kemudahan iaitu MBSB Bank Berhad dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Berikut adalah prosedur permohonan:
Langkah 1: Buat semakan awal kelayakan simpanan Akaun 2 KWSP melalui portal institusi perbankan yang mengambil bahagian;
Langkah 2: Memohon pembiayaan peribadi melalui portal institusi perbankan mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh institusi perbankan;
Langkah 3: Kemukakan permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 atau 55 tahun dengan KWSP melalui portal institusi perbankan, berdasarkan jumlah pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan ini, sila rujuk Portal Rasmi KWSP – DI SINI.