Menghina fizikal dan meremehkan orang lain, di atas banyak sebab seperti paras rupanya , bentuk fizikalnya, warna kulitnya adalah sangat dilarang dalam Islam. Salah satu perkara negatif di media sosial adalah cara baru digunakan yang memudahkan seseorang merendahkan, menghina serta mencaci orang lain. Terkadang mereka melakukan perbuatan mengejek fizikal seseorang itu tanpa disedari dengan sendirinya.
Dalam sebuah hadits, Nabi SAW telah bersabda
بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنَ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ
“Cukuplah seseorang berbuat keburukan jika dia merendahkan saudaranya sesama muslim.” (HR. Muslim). Mudah-mudahan Allah Ta’ala senantiasa menjaga lisan dan perbuatan kita dari mencela dan merendahkan orang lain.
Sesetengah orang melakukan body shaming tanpa sedar kerana memang sudah menjadi kebiasaan tabiat buruk mereka. Tentunya orang yang menjadi sasarannya berasa tidak selesa dengan tabiat buruk mereka. Perbuatan body shaming itu pada hakikatnya jelas haram dan ditegah oleh Islam. Kerana setiap manusia dilahirkan ada keistimewaan tersendiri dan tidak sama dengan orang lain.
Semua ciptaan Allah ada kelebihan serta hikmahnya tersendiri. Ia tidak sepatutnya dicela dan dihina sedemikian rupa. Allah SWT berfirman dalam Surah at-Tin, ayat 4 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami menciptakan manusia itu sebaik-baik kejadian.”
Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang sahabat bernama Abdullah bin Mas’ud RA.
Beliau memiliki betis yang kecil. Ketika beliau mengambil ranting untuk dijadikan siwak, angin berhembus dan menyingkap betisnya yang kecil itu lalu sahabat Nabi tertawa kerana melihat betis Ibnu Mas’ud yang kecil itu. Maka Baginda menegur perbuatan sahabat dengan bersabda yang bermaksud:
“Apa yang membuat kalian ketawa?”
Mereka berkata, “Wahai Nabi Allah kerana kedua-dua betisnya yang kurus.”
Maka Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di timbangan daripada Gunung Uhud.”
Hadis itu menunjukkan, menghina fizikal seseorang adalah haram di sisi agama islam. Jika kita perhatikan, sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan namun hanya ketawa saja. itu pun sudah menjadi satu kesalahan dan ianya adlah haram lalu mereka ditegur oleh Rasulullah SAW.
Allah SWT melarang kita merendah-rendahkan serta menghina orang lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang dihina itu) lebih baik daripada mereka (yang menghina), dan jangan pula wanita-wanita (merendah-rendahkan) wanita lain (kerana) boleh jadi wanita-wanita (yang dihina itu) lebih baik daripada wanita (yang menghina) dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah beriman dan barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Apabila dihina jangan membalas
Antara akhlak terpuji orang Islam ialah apabila orang lain memperlakukan kita dengan buruk sekali , tetapi kita tetap membalasnya dengan berbuat baik, tidak dengan keburukan juga. Namun, pada saat orang berbuat jahat kepada kita, biasanya tiada yang lain yang akan kita fikirkan kecuali bagaimana membalasnya dengan kejahatan juga. Tapi apa yang patut dan boleh kita lakukan ialah hanya bersabar dan memohon kepada Allah SWT supaya membalas perbuatan mereka yang sangat kejam sehinggakan mengguris hati dan perasaan kita itu.
Perut yang ditendang, muka yang ditampar, terkena tusukan ataupun pukulan juga gurisan pedang pasti akan memunculkan rasa sakit. Rasa sakit itu tidak diajar melalui proses pendidikan dan pembelajaran. Rasa sakit itu juga bersifat semula jadi dan fitrah. Begitu juga rasa sakit yang mendera hati, batin dan perasaan.
Ketika kita dihina, pasti muncul satu perasaan yang menunjukkan rasa sakit hadir di dalam hati kita. Apabila kita difitnah, pasti munculnya rasa yang sangat perit seperti mencucuk jiwa. Maka Disebabkan itu rawatlah hati dengan sabar dan tetap berdoa.

Rasulullah SAW bersabda:
ثَلَاثَةٌ لاَ تُرَدُّ دَعْوَتُهُمُ الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَالْإِمَامُ الْعَادِلُ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ فَوْقَ الْغَمَامِ وَيَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ : وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ
“Ada tiga golongan manusia yang doa mereka tidak akan ditolak: Orang yang berpuasa sampai ia berbuka, pemimpin yang adil, dan doanya orang yang dizalimi. Allah akan mengangkat doanya sampai di atas awan dan dibukakan pintu-pintu langit untuknya, dan Allah berfirman : Demi keagungan-Ku, Aku benar-benar akan menolongmu meskipun tidak serta merta.”(HR. Tirmidzi dan yang lainnya, hadits ini dishohihkan oleh Syaikh Al-Albani).
ALLAH SWT mengabulkan semua doa hambanya yang bertaqwa. Cepat atau lambat keinginan itu pasti akan terkabulkan. Terlebih bagi yang sedang teraniaya, baik lahir maupun batinnya, Insya Allah doa mereka makbul.