SAPS NKRA Ibu Bapa Di Godam ke? Digital Mukmin dapat tahu yang sistem SAPS Ibu Bapa telah digodam. Harap bukanlah digodam dengan betul, tetapi hanya cubaan menggodam.
Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) akan digantung buat sementara waktu disebabkan isu keselamatan berikutan terdapat dakwaan yang menyatakan berlaku serangan terhadap sistem tersebut.
Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia berkata, pada masa ini pihaknya masih menyiasat mengenai dakwaan itu selepas menerima laporan yang dihantar kepada kementeriannya semalam.
“Sebagai langkah berjaga-jaga saya telah mengarahkan pihak kementerian untuk menutup sistem tersebut buat sementara waktu dan pada masa sama, pihak kementerian juga sedang menjalankan analisis keselamatan yang mendalam bagi mengesan kelemahan terhadap sistem tersebut dan satu tindakan segera akan diambil sejurus masalah tersebut diatasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Maszlee berkata, beliau bagi pihak kementerian memohon maaf di atas masalah tersebut dan berjanji untuk menyiasat secara teliti dan akan mengambil tindakan dengan segera.
Mengulas lanjut,Dr. Maszlee berkata, biarpun sistem SAPS digantung seketika, laman sesawang dan aplikasi lain yang melibatkan Kementerian Pendidikan masih berfungsi seperti biasa.
Portal Rasmi SAPS merupakan sistem analisis peperiksaan sekolah yang telah diwujudkan oleh kementerian bagi memudahkan pihak ibu bapa dan penjaga membuat semakan keputusan peperiksaan sekolah anak – anak mereka.
Sistem ini merupakan sistem yang kerap kali digunakan oleh guru-guru dan juga ibu bapa. Bagi guru, ia diperlukan bagi memasukkan markah peperiksaan pelajar. Manakala bagi ibu bapa pula ia perlu untuk membuat semakan keputusan peperiksaan anak-anak di sekolah.