Sujud Sahwi – Cara & Bacaan Sujud Sahwi | pernahkah anda terlupa untuk membaca doa qunut semasa solat subuh? Digital Mukmin akan kongsikan sedikit mengenai Sujud Sahwi kepada anda.
Kita sebagai manusia biasa yang mempunyai banyak kekurangan tidak pernah terlepas dari sifat lupa walaupun sesame beribadah kepadaNya. Pernahkah anda mendengar mengenai sujud sahwi? Sujud sahwi adalah cara bagi menutup kekurangan dalam sesuatu solat fardhu.
SUJUD SAHWI
Sahwi bermakna lupa. Mengikut Mohd Zuhairee Mohd Yatim, Imam merangkap Penolong Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, JAKIM, sujud sahwi dilaksanakan bagi menampung beberapa jenis kesalahan yang dibuat semasa solat yang disebabkan oleh lali dan juga terlupa. Antara kesalahan adalah terlupa salah satu sunat ab’adh iaitu tahiyat awal dan juga doa qunut.
Berdasarkan hadis daripada al- Mughirah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
“Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi)”. (Riwayat Ahmad)
Selain itu, ia juga diharuskan sekiranya kita berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat.
Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.
“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat. Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya. Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)
Hukum Sujud sahwi adalah sunat. Ini bermakna, tidak batal solat seseorang jika tidak melakukannya.
CARA – CARA SUJUD SAHWI YANG LENGKAP
Walaupun hukumnya sunat, kita perlu lakukannya apabila perlu. Hal ini demikian kerana , cara sujud sahwi sebenarnya mudah :
- NIAT
Sujud sahwi harus diniat terlebih dahulu semasa penghujung rakaat terakhir. Setelah tahiyat akhir, sebelum memberi salam, takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi.
*semasa kuliah Ustaz Don Daniyal, andai kita sudah berniat mahu melakukan sujud sahwi, duduk tahiyat akhir seeloknya dalam keadaan duduk antara dua sujud.
- SUJUD
Lafaz ini perlu dibacakan sebanyak 3 kali dalam sujud sahwi:
سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ
Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu
Maksudnya: Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa
- DUDUK ANTARA DUA SUJUD
Selepas membaca lafaz tersebut, anda perlu bangun daripada sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita lakukan dalam solat. Bacaan juga sama seperti duduk antara dua sujud.
- SUJUD SEKALI LAGI
Setelah itu duduk kembali pada posisi duduk di antara dua sujud dan lakukan sujud sahwi sekali lagi. Kemudian duduk dalam keadaansemasa tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tidak perlu mengulang bacaan tahiyat akhir sekali lagi).
BAGAIMANA JIKA TERTINGGAL PERBUATAN YANG TERMASUK DALAM RUKUN SOLAT?
Setakat ini, kita dijelaskan bahawa kita digalakkan melakukan sujud sahwi apabila kita terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh, iaitu doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.
Jadi, apakah yang sepatutnya kita lakukan jika kita terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam rukun (contohnya membaca al-fatihah atau rukuk)?
Kita tidak boleh menggantikan perkara yang tertinggal tersebut dengan sujud sahwi semata-mata. Contohnya, kita terlupa membaca al-fatihah semasarakaat ketiga dalam solat maghrib. Maka, kita perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.
HIKMAH SUJUD SAHWI
Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat kita yang terkurang. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita jika ada cacat celanya.