Sumayyah Wanita Yang Pertama Mati Syahid Dalam Islam.

Riwayat Sumayyah dicatat dalam lembaran sejarah dengan tinta emas kerana beliau wanita yang pertama mati syahid dalam Islam sebagai motivasi jihad terhadap generasi yang berikutnya. Namanya abadi hingga kini untuk dikenang sebagai pejuang yang sanggup dan berani melawan kekejaman dan kekerasan.

Hajar berkata dalam kitabnya Al-Ishabah;
“Sumayyah bt Hubbath bekas hamba sahaya Huzaifah b al-Mughirah b Makhzum. Beliau
adalah ibu Ammar b Yasir orang yang masuk Islam pada hari ke-7. Sumayyah diseksa Abu
Jahal dan ditusuk tombak pada kemaluannya hingga meninggal dunia. Ia adalah wanita yang
pertama sekali mati syahid dalam Islam.Yasir dinikahkan oleh Huzaifah dengan Sumayyah kemudian mendapat sorang anak yang diberi nama Ammar setelah dimerdekakan. Yasir, Ammar dan Sumayyah termasuk
angkatan pertama yang memeluk Islam.”

Sumayyah ialah ibu Ammar b Yasir, yang merupakan gambaran cemerlang wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam. Sumayyah merupakan isteri Yasir. Dengan keimanan yang kuat dan keberanian yang tersimpan di relung hatinya yang dalam ia sanggup menentang Abu Jahal yang terkenal bengis dan kejam.

Sumayyah bersama suami dan anaknya Ammar dijemur di tengah padang pasir yang sangat panas. Kaki dan tangan mereka diikat sehingga tidak bergerak dan melawan. Mereka diseksa dengan kejam agar mengikuti keinginan Abu Jahal. Namun mereka tidak terdengar sepatah katapun dari mulut Yasir atau puteranya, Ammar selain daripada rintihan yang penuh kesakitan, justeru itu mereka meneruskan penyeksaan terhadap keluarga yang beriman ini agar menyatakan murtad dari agama Islam.

Sumayyah tidak merintih kesakitan tetapi menentang dengan terus terang serta menyatakan bahwa beliau tetap berpegang teguh kepada keimanannya, walaupun harus ditebus dengan harga yang mahal kerana mereka telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w ketika baginda melewati tempat mereka diseksa yang bermaksud;  Bersabarlah wahai keluarga Yasir kerana tempat yang dijanjikan untuk kamu adalah syurga.”

Segala seksaan terasa ringan kerana semuanya akan berakhir dengan kenikmatan syurga. Biar apapun seksaan yang menimpa Sumayyah namun ia tetap dengan pendirian dan keimanan yang kukuh dalam jiwanya. Abu Jahal yang sombong dan bengis merasa terhina kerana dicabar oleh seorang wanita yang lemah. Penyeksaan yang dilakukan hanya menambah ketaqwaan Sumayyah dan menambah keberaniannya. Akhirnya Sumayyah di bunuh dengan penyeksaan yang menyedihkan.

Sumayyah menjadi lambang dalam menegakkan agama Allah. Dia termasuk 7 orang yang pertama sekali menunjukkan keIslamannya di Mekah. Mereka adalah Rasulullah, Abu Bakar, Bilal, Khabbab, Shuhaib, Ammar dan Sumayyah. Rasulullah dan Abu Bakar dihalangi oleh kaumnya sedangkan yang lain dipakaikan baju besi dan dipanaskan pada sinar matahari yang terik. Melihat Sumayyah, maka Abu Jahal mendekatinya dan menusuknya dengan tombak hingga meninggal dunia. Ammar hidup hingga menyaksikan terbunuhnya orang yang membunuh ibunya.

Ibnu Sa’ad meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari Mujahid ia berkata; “Wanita yang pertama sekali mati syahid dalam Islam ialah Sumayyah, seorang wanita tua yang lemah. Ketika Abu Jahal terbunuh dalam peperangan Badar, Rasulullah bersabda; “Allah membunuh orang yang membunuh ibumu.”

Sumber video: ML Studio


Jom Bantu Share Artikel Ini
×