Mungkin sesetengah orang menganggap surah al-Falaq adalah surah pendek yang sesuai dibaca semasa solat sendirian. Selain itu, surah ini juga sering dibaca sebagai amalan sebelum tidur, atau di dalam zikir Ma’thurat pagi dan petang. Digitalmukmin.com akan kongsikan lebih lanjut mengenai surah al-Falaq.
Kisah Penurunan Surah Al-Falaq
Seorang Arab Yahudi bernama Labid ibn Asim yang merupakan antara munafik telah mengenakan Ilmu Hitam (sihir) kepada Nabi Muhammad s.a.w.. Dia telah mengambil rambut baginda dan membuat sebelas ikatan (simpulan) dan meletakkanya di bawah batu berhampiran telaga bernama Zarwan. Akibatnya, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengalami kekeliruan dan was-was tentang perkara yang telah dilakukan dan belum dilakukan baginda (walaupun ia tidak mempengaruhi ajaran dan sifat kenabian baginda). Maka, malaikat Jibrail turun menghadap baginda dan memberitahu perkara yang sebenar dan menyampaikan dua surah iaitu Surah al-Falaq dan Surah An-Nas. Baginda bersama para sahabat baginda pergi ke telaga tersebut dan mengalihkan simpulan rambut tersebut. Ketika setiap kali surah dibaca, simpulan itu terurai dengan sendirinya dan ketika simpulan yang kesebelas terurai, baginda telah bebas dari pengaruh ilmu hitam tersebut. (Rujukan: Tafsir Ibn Kathir & Ma’arif al-Qur’an)
Menurut Abdullah Yusuf Ali, pada waktu zaman kenabian Nabi Muhammad SAW, terdapat seorang bomoh perempuan yang mengenakan sihir hitam ke atas musuhnya menggunakan sihir pada simpulan. Dengan itu, Allah menurunkan surah ini sebagai perlindungan daripada sihir tersebut.
Surah al Falaq Surah Yang Paling Dicintai Allah
Bagi mereka yang mempelajari atau mengamalkan kaedah rawatan Islam pula, surah al-Falaq merupakan antara surah yang wajib diamalkan sebagai pendinding menghadapi gangguan makhluk halus. Akan tetapi tahukah anda, surah al-Falaq sebenarnya memiliki kedudukan yang lebih tinggi daripada semua itu?
Perhatikan makna indah dalam hadith , Uqbah bin ‘Amir datang bertemu Nabi dan berkata:
“Ya Rasulullah, bacakan kepadaku beberapa ayat dari surah Hud dan surah Yusuf. Lalu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Wahai Uqbah, tidaklah engkau membaca satu surah yang paling dicintai Allah dan paling agung di sisi-Nya selain surah al-Falaq. Jika engkau mampu untuk tidak ketinggalan membacanya dalam setiap solat, maka lakukanlah.”
(Hadis ini dinilai Sahih oleh Sheikh Albani rahimahullah dan dinukil oleh al-Hafiz al-Munziri dalam kitabnya Targhib wa Tarhib)
MENGENALI SURAH AL-FALAQ
Katakanlah : Aku berlindung kepada Tuhan yang menguasai waktu Subuh,
Dari kejahatan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan,
Dari kejahatan malam apabila telah gelap-gelita,
Dan dari kejahatan wanita tukang sihir yang meniup simpulan dan ikatan,
Dan dari kejahatan orang-orang yang dengki apabila dia dengki
- Surah ke-113 ini mengandungi lima ayat dan tergolong dalam kategori surah Makkiyah.
- Ibn Abi Hatim membawa riwayat daripada Jabir yang mengatakan Al-Falaq bermaksud waktu Subuh, sebagaimana firman Allah di dalam ayat ke 96 surah al-An’am bermaksud: “Dia menyinsingkan pagi.”
- Surah al-Falaq memiliki hubungan yang rapat dengan surah an-Naas.
- Kedua-dua surah ini dinamakan al-Muawwidzatain kerana dimulakan dengan permohonan berlindung kepada Allah.
Untuk lebih memahami intisari surah ini, terdapat dua istilah bahasa Arab yang menarik untuk kita sama-sama ketahui.
- Istilah pertama ialah Musta’az Bihi, yang bermaksud kepada siapa kita meminta perlindungan. Dalam konteks surah al-Falaq, Musta’az Bihi di sini ialah Allah SWT. Menerusi keagungan dan kekuasaan-Nya, kita memohon Allah SWT memelihara kita daripada kejahatan makhluk-Nya, kegelapan yang hadir pada waktu malam, rencana tukang-tukang sihir dan orang-orang yang dengki.
- Istilah kedua pula ialah Musta’az Minhu, yang bermaksud apakah bentuk ancaman yang kita minta dijauhkan. Dalam konteks surah al-Falaq, Musta’az Minhu ialah kita memohon dijauhkan daripada kejahatan makhluk, kegelapan malam, ancaman tukang sihir dan orang-orang yang dengki.
PENGAJARAN
Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Mas’ud, Rasulullah Sallallah Alaihi Wasallam bersabda:
“Hasad itu hanya dibenarkan dalam dua perkara. Lelaki yang dikurniakan Allah harta dan dia menggunakan harta tersebut di jalan yang benar. Dan lelaki yang dikurniakan Allah hikmah kebijaksanaan dan dia mengamalkannya serta mengajarkan kepada orang lain.”
(Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)