Mungkin inilah masanya untuk kamu semua meluangkan masa untuk mengemas almari baju kamu yang sudah bila tidak dikemas kan? Orang kata, ada baiknya musim PKP dan work from home ini, sekurang-kurangnya ada masa di rumah dan kemas apa yang patut!
Mengemas baju bukanlah perkara susah. Mudah saja! Walaupun kita tidaklah sehebat Marie Kondo, tapi usah risau, amalkan beberapa langkah ini, pasti almari baju kamu akan tersusun rapi!
1. Pilih dan bahagikan mengikut kegunaan.
Pertama sekali, kamu harus asingkan setiap pakaian mengikut kegunaan dan kekerapan yang kamu pakai. Biasalah, kadang-kala ada baju kita pakai bila perlu sahaja, dan ada juga baju yang kita selalu pakai terutamanya bila di rumah dan juga sedang masak atau sedang membuat kerja rumah.
Membahagikan pakaian mengikut kegunaan adalah sangat membantu proses menyimpan pakaian di dalam almari nanti. Ianya akan memudahkan kerja dan membuatkan pakaian tersimpan dengan lebih kemas dan teratur. Paling kemas dan rapi jika kamu menyediakan kotak dalam almari supaya kamu boleh meletakkannya mengikut bahagian. Sebagai contoh:
- Pakaian dalam
- Baju kerja
- Baju tidur
- Baju berjalan
- Baju siang
- Baju sukan
2. Susun mengikut warna untuk lebih rapi.
Apa yang menariknya apabila kita menyusun baju mengikut warna, ia membuatkan almari baju lebih cantik, rapi dan kemas! Ia juga menjadikan kamu lebih mudah dan tenang saat memilih baju. Ada kalanya kamu ingin memakai warna yang terang, jadi kamu sudah tahu di mana kamu gantung baju yang terang. Mudah bukan? jadi, usah malas untuk menyusun baju mengikut warna. Biarpun mengambil sedikit masa, namun ia berbaloi!
3. Asingkan pakaian untuk digantung dan dilipat.
Cara susun baju dalam almari yang seterusnya ialah dengan kaedah mengasingkan pakaian untuk digantung dan dilipat. Kaedah menggantung dan melipat pakaian adalah salah satu cara untuk menyusun pakaian secara kemas, teratur, dan mudah untuk diambil. Sesetengah pakaian lebih sesuai untuk digantung pada penyangkut baju sementara sesetengahnya adalah lebih sesuai untuk dilipat. Oleh itu adalah sangat baik jika kamu memilih kedua-dua kaedah ini.
Contoh pakaian yang sesuai untuk digantung ialah:
- Seluar jeans
- Seluar slack
- Skirt
- Kemeja
- Baju kurung
- Jubah
Contoh pakaian yang sesuai untuk dilipat ialah:
- Tshirt
- Pakaian anak-anak
- Baju dalam
- Stoking
- Tudung dan shawl
4. Lipat dan gantung dengan kemas.
Langkah seterusnya ialah anda perlu melipat dan menggantung baju dengan kemas dan teratur. Gantung baju mengikut jenis dan saiz supaya susunannya cantik dan teratur. Untuk baju yang dilipat, pastikan lipatan kamu adalah seragam agar pakaian mudah untuk disusun. Lipatan yang tidak seragam dan tidak kemas akan menyebabkan almari nampak tidak teratur. Susun pakaian yang dilipat mengikut jenis agar mudah diambil. Sebagai contoh, baju tidur diletakkan setempat.
5. Simpan dalam laci atau kotak.
Menyusun pakaian didalam laci atau kotak juga akan membuatkan almari baju kelihatan kemas dan tersusun. Di antara pakaian yang sesuai untuk disusun dalam laci atau kotak ialah pakaian dalam, anak tudung atau inner, stoking, tudung dan shawl. Tali leher juga sesuai untuk disimpan di dalam laci dan kotak.