Beberapa hari yang lalu, tular di media sosial mengenai seorang wanita yang mendakwa bayi yang baru dilahirkannya ‘tertukar’ dengan bayi yang lain selepas dibawa pulang ke rumah dari sebuah hospital swasta. Wanita tersebut yang dikenali sebagai Siti Jamumall berkata, ketika berada di rumah, suaminya menyedari ada yang ‘tidak kena’ apabila tag nama yang dipakaikan pada kaki bayi mereka adalah nama ibu yang berlainan.
Dia melahirkan seorang bayi lelaki pada Jumaat (11 Jun) jam 2.36 pagi, manakala bayi lelaki berkenaan dilahirkan pada Khamis (10 Jun) jam 3 petang mengikut maklumat yang tertera pada tag. Siti berkongsi kejadian tersebut menerusi satu siaran langsung secara live di Facebook Jamumall.com dan meraih lebih 45 ribu ‘share’ oleh warganet dalam tempoh empat jam.
Tanpa berfikir panjang, dengan pantas Siti dan suami bergegas semula ke hospital berkenaan untuk ‘memulangkan’ semula bayi berkenaan dan mengambil semula bayi mereka.
Tampil perjelas hal sebenar
Menerusi siaran langsung terbaharu, Siti menjelaskan debaran mereka sedikit reda apabila menghubungi pihak hospital dan berjaya mendapatkan ibu sebenar kepada bayi berkenaan yang sudah pulang ke rumah. Ibu sebenar kepada bayi berkenaan yang tiba di hospital, memberitahu bahawa mereka (keluarga ibu bayi itu juga tidak perasan akan bayi yang tertukar, didakwa kerana tidak menyemak dengan teliti penama yang ada pada tag berkenaan.
“Sebab pasangan tu merupakan anak yang pertama (dilahirkan), dan juga ibunya juga (bersalin) czer. Jadi diorang duduk berdua, diorang dah sayang sangat baby tu. Syukur sangat sebab anak Siti (saya) duduk dengan orang yang baik.
“Ibu tadi datang pun dia memang mata bengkak (menangis), sama-sama mata bengkak. Dia pun dah sayang anak ni, dia rasa sedih nak pulangkan. Saya terdiam, speechless. Takda pun nak marah ke apa, memang fikir anak je waktu tu..ada hikmah di sebaliknya,” katanya.
Rupa-rupanya dalam tempoh tertukar itu, masing-masing sudah saling menyusukan bayi yang ada dalam pangkuan mereka sekaligus timbul kasih dan sayang daripada naluri seorang ibu. Kes ini berjaya diselesaikan setelah kedua-dua mereka ‘bertukar’ semula bayi berkenaan dengan kerjasama pihak hospital.
Situasi cemas ‘tertukar’ anak ini disifatkannya seperti dalam drama, namun jelas Siti kedua-dua pihak tidak saling menyalahkan, malah berlapang dada untuk menerima apa yang berlaku.
Kata Siti, kejadian ini merupakan pengajaran baginya dan semua ibu yang bakal melahirkan cahaya mata. Dia turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya warganet yang mendoakan agar anaknya ditemui semula.
https://web.facebook.com/watch/?v=913273835903002