DALAM kekalutan, penyelidik dan pakar perubatan mencari cara melindungi dan mengurangkan komplikasi dijangkiti COVID-19, tular di internet mengenai vitamin C sebagai antara kaedah pencegahan dan rawatan pandemik itu. Vitamin C amat penting untuk membina sistem imunisasi yang kuat lagi kebal. Vitamin C yang mencukupi dapat memastikan anda tidak mudah diserang jangkitan kuman.
Pakar Kesihatan Keluarga, Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Azidah Abdul Kadir, berkata ketika ini tiada rawatan khusus untuk jangkitan itu atau vaksin mencegah jangkitan.Katanya, vitamin C atau asid askorbik ialah nutrien berperanan sebagai antioksida menghalang radikal bebas daripada merosakkan sel badan dan berfungsi meningkatkan daya tahan badan daripada penyakit berjangkit seperti selesema atau influenza.
Suplemen vitamin C mungkin penting untuk mencegah dan merawat radang paru-paru.”Kini tiada bukti saintifik suplemen atau diet dapat mencegah atau merawat jangkitan COVID-19,” katanya.
Dalam kajian kegunaannya, untuk selesema biasa, vitamin C tidak dapat mencegah jangkitan itu, tetapi mungkin dapat mempercepatkan penyembuhan. “Bukti saintifik untuk rawatan selsesema tidak kukuh. Bukti saintifik peranan vitamin C mencegah atau merawat radang paru-paru masih belum kukuh.
“Beberapa kajian menunjukkan rawatan intravena vitamin C dengan dos tinggi dapat kurangkan tempoh unit rawatan rapi (ICU) diterima pesakit radang paru-paru, sebanyak lapan peratus dan 18.2 peratus kurangkan tempoh pesakit menerima alat bantuan pernafasan,” katanya.
China kaji vitamin C untuk pesakit COVID-19
Berdasarkan maklumat itu, vitamin C digunakan bagi rawatan COVID-19 untuk pesakit ada komplikasi radang paru-paru. Kajian untuk melihat keberkesanan vitamin C untuk perkara sama. Dalam kajian ini, akan nilai tempoh rawatan rapi diberikan, kegunaan alat bantuan pernafasan, kadar kematian, kerosakan organ dalaman dan kegunaan ubat kritikal, dijangka siap September lalu.
“Vitamin C bukan rawatan standard diiktiraf untuk COVID-19 sekarang, walaupun dos tinggi vitamin C intravena sedang diuji sama ada dapat meningkatkan fungsi paru-paru pesakit COVID-19, tiada bukti suplemen vitamin C oral dan dos tinggi mencegah terkena penyakit ini,” katanya.
Kesan berlebihan vitamin C
Katanya, vitamin C sebagai suplemen perlu dipastikan dalam dos betul dan pilih yang berkualiti, iaitu antara 250 hingga 2000 mg sehari. Dos tinggi boleh memberikan kesan sampingan seperti cirit-birit dan batu karang dalam beberapa kes. Vitamin C boleh mempengaruhi beberapa jenis ubat lain seperti kemoterapi, zat besi atau ubat kolesterol.
Bawang putih
Di China ada merekodkan pengambilan bawang putih untuk mengelakkan selesema. Banyak kajian menunjukkan ia boleh meningkatkan sistem imun tubuh. Bawang putih tidak dapat mengelak individu dijangkiti COVID-19, tetapi boleh mengurangkan risiko dijangkiti.
Buah sitrus
Sumber vitamin C yang baik, dapat meningkatkan sel darah putih berperanan melawan jangkitan virus.
Brokoli
Berpotensi mencegah jangkitan virus COVID-19. Brokoli kaya nutrien penting sistem imun, seperti serat, antioksidan dan vitamin A, C serta E.
Lada benggala merah
Tinggi kandungan nutrien menghalang jangkitan virus. Dua kali lebih banyak vitamin C berbanding buah sitrus, kuatkan sistem imun