Air mani berasal daripada perkataan ( أمْنَى – يُمْنِيْ) dalam bahasa Arab bermaksud terpancut. Dinamakan mani kerana keadaannya yang keluar dengan cara memancut, warnanya putih dan pekat. Firman Allah SWT:
خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ
“Diciptakan manusia dari air mani yang terpancar.”
(Surah Al-Tariq: 6)
Air mazi ialah air yang berwarna putih, halus dan melekit, keluar ketika bangkitnya permulaan syahwat atau ketika bergurau senda bersama isteri dan menciumnya. Ia keluar tanpa memancut dan tidak diiringi dengan lembiknya zakar, kadang-kadang ia keluar tanpa disedari. Mazi lelaki dan wanita adalah sama, wanita keluar mazi apabila bangkit syahwatnya. Tidak wajib mandi dengan sebab keluar mazi, iaitu air yang keluar disebabkan syahwat yang paling rendah (mani adalah air kemuncak syahwat). Mazi mempunyai sifat-sifat air mani seperti yang disebutkan berdasarkan hadis riwayat Saidina Ali Karramallahu Wajhah di mana beliau berkata:
كُنْتُ رَجُلاً مَذَّاءً فَجَعَلْتُ أَغْتَسِلُ حَتَّى تَشَقَّقَ ظَهْرِى فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِلنَّبِىِّ (ص) أَوْ ذُكِرَ لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ (ص) لاَ تَفْعَلْ إِذَا رَأَيْتَ الْمَذْىَ فَاغْسِلْ ذَكَرَكَ وَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلاَةِ فَإِذَا فَضَخْتَ الْمَاءَ فَاغْتَسِلْ
Maksudnya: “Aku adalah seorang lelaki yang sentiasa keluar mazi, aku sentiasa mandi pada musim sejuk sehingga belakangku kelihatan pecah-pecah. Aku bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW. Rasulullah SAW bersabda: “Jangan kamu lakukan seperti itu, jika kamu melihat mazi maka basuhlah kemaluanmu dan berwuduklah sebagaimana kamu berwuduk untuk solat. Jika kamu mencurahkan air (mani) maka hendaklah kamu mandi.”
[Hadis ini adalah sahih diriwayatkan oleh Abu Daud: 1/47, Al-Nasaie: 1/93, Imam Al-Bukhari meriwayatkan maknanya seumpama hadis di atas: 1/105 (no 266), Muslim: 3/212 (no 303)]
Air wadi iaitu air yang keruh dan pekat yang hampir menyerupai mani dari sudut kepekatannya dan tidak sama seperti mani dari sudut kekeruhan warnanya, tidak mempunyai warna dan keluar selepas kencing dan ketika mengangkat sesuatu yang berat. Wadi keluar sebanyak satu atau dua titisan, tidak wajib mandi dengan sebab keluarnya kerana tiada sebab dari sudut syarak yang mewajibkan mandi kerana yang diwajibkan mandi ialah keluar mani sahaja. Rujuk al-Mu’tamad: 1/131-132, Mughni al-Muhtaj: 1/69, Al-Muhazzab: 1/116, Al-Majmu’: 2/148, Al-Hawi: 1/255, Al-Anwar: 1/50.
Bagi seorang perempuan yang belum berkahwin tetapi mempunyai masalah keputihan dimana walaupun sudah menggunakan pantiliner setiap masa.
- Adakah air mazi keluar jernih manakala air mani keluar kekuningan?
- Adakah air mazi keluar hanya disebabkan syahwat?
- Apakah syahwat itu adalah hanya apabila berimaginasi bukan-bukan tentang lelaki atau perempuan?
- Adakah cecair mazi boleh keluar tanpa berimaginasi bukan-bukan ?
- Jika kita berasa cemas adakah mazi boleh keluar?
- Sering juga selalu was-was tentang perkara ini menyebabkan perlu mandi wajib 2,3 kali sehari. Terkadang terbayangkan bukan-bukan tanpa sedar dan tak diingini tak keluar air dan tanpa membayangkan tapi merasa cemas takut air mani keluar tiba-tiba tersedar ade cecair keluar.
AIR MAZI & AIR MANI
- Bagi insan normal, air mazi dan air mani hanya keluar ketika syahwat.
- Air mazi ketika sedang syahwat dan air mani pula ketika kemuncak syahwat.
- Mazi cairan nipis dan melekit, mani pula kental.
- Syahwat boleh timbul kerana hubungan suami isteri, berkhayal, melihat perkara yang menimbulkan syahwat atau sebagainya.
AIR WADI
- Tanpa syahwat, mungkin cairan yang keluar itu kecing, keputihan, peluh atau air wadi.
- Cairan-cairan itu keluarnya tidak memerlukan mandi, memadai membasuhnya sahaja dan mengambil wudhuk sebelum solat.